... ma'a ana...

Sunday, May 1, 2011

Wanita Yang Indah


Aduhai wanita... sungguh mahal dirimu di mata lelaki, tetapi mengapa masih ada lagi yang tidak menyedari? Dirimu sungguh agung di mata lelaki dan terlalu mulia di sisi Penciptamu. Namun itu semua hanya jika kau tahu mengagungkan dan memuliakan dirimu sendiri.

Menjadi wanita adalah satu anugerah yang paling indah. Seharum mana pun wangian kasturi tidak mampu menandingi wangian budi pekertimu, lembutnya gumpalan kapas masih tewas dek kelembutan tingkahmu. Halusnya butiran pasir yang menjadi peneman setia si pantai masih tidak dapat menandingi halusnya tuturmu.

Duhai wanita... Sebenarnya maruah diri yang kau galas lebih berat daripada bongkah-bongkah batu yang besar. Kau menepis dengan penuh sabar setiap godaan nafsu dunia yang datang bertubi-tubi hingga hampir mengheretmu ke kancah yang penuh onak duri. Percayalah wanita, akan ada bahagia di akhir kesengsaraanmu asal saja kesabaran menjadi bentengmu.

Wanita ku... Terima sahaja cemuhan dan makian yang muncul bederu -deru ibarat halilintar yang singgah di cupingmu, terima saja itu dengan senyuman dan ambil saja sebagai halwa telinga yang mengajarkan mu erti kesabaran. Itu sebenarnya dendangan sumbang dari bibir-bibir sumbing yang ingin melihat mu tersungkur. Percayalah akan ada berita manis yang singgah dicupingmu suatu masa nanti asal saja gunung kesabaranmu tidak pernah kau tarah.

Saudara wanitaku, iman mu adalah perisai, agamamu adalah landasanmu di setiap langkah yang kau atur. Jangan sesekali kau biarkan anasir songsang memperkotak-katikkan imanmu apatah lagi agama yang kau kandung hanya kerana nikmat duniawi semata-mata. Jangan kau gadaikan maruahmu yang tidak ada galang gantinya hanya kerana mengejar sesuatu yang tidak mungkin bisa kau kendong.

Andai kata kau tersungkur, segeralah bangkit dan sekiranya kau tersasar jauh dari landasan hidupmu, atur kembali langkahmu bersama titipan iman dan mulakan dengan langkah yang baru. Sedangkan Sang Jentayu yang kepatahan sayapnya masih bisa hidup bertongkat paruh apatah lagi kau yang dianugerahkan akal fikiran. Jangan bersedih wahai wanita, andai apa yang kau ingini tidak kau beroleh di dunia, percayalah syurga itu sentiasa menantimu.

Bulatnya iman dan taqwa Sumaiyah ketika dihunuskan tombak ditubuhnya, demikian jugalah bulat imanmu harus kepada Penciptamu. Peganglah kata kata ini, "Kau sebenarnya tidak akan tersasar seandainya keimananmu kau jadikan sebagai tunjang dalam kehidupan".

Wanita, biar tawadukmu lebih menggungung daripada kejelitaanmu, biar keayuanmu terpancar dek kerana lemah gemalainya perilaku. Biar kebijaksanaanmu terpampang oleh tingginya ilmumu. Jangan sesaat pun kau lupa setianya Masyitah pada Tuhannya, agungnya kasih Khadijah kepada agamanya dan perjuangan srikandi-srikandi agama terdahulu.

Jadikan agamamu sebagai tunjang yang memperkasakan akidahmu.Biar kesabaranmu menjadi benteng perjuanganmu dan lebarkan imanmu dengan sejuta lapis sifat mahmudah. Jadilah kita wanita paling bahagia.

Friday, April 29, 2011

Aku rasa aku tak salah...Tapi sebenarnya....

Aku rasa aku tak salah jika ada bencana alam yang melanda dunia, ialah, bukan aku yang jadikan banjir, gempa bumi dan semua bencana.

Tapi sebenarnya salah aku kerana aku membuat maksiat, lalai dari mengingati yang bahawanya tugas aku sebagai khalifah di bumi Allah. Aku tidak ingin merubah diri sendiri dan orang lain sampai Allah murka dan menurunkan bala kepada umat manusia.

Aku rasa aku tak salah jika maksiat, zina, buang bayi berlaku tiap-tiap hari dan makin meningkat setiap masa, ialah, bukan aku yang lakukan hal terkutuk itu. Aku buat kerja aku sahaja.

Tapi sebenarnya salah aku kerana aku tak mahu peduli tentang masyarakat. Tidak mahu menjadi contoh yang baik agar masyarakat beringat menjauhi maksiat. Aku sendiri banyak mengikut budaya-budaya barat dan aku sendiri meremehkan hubungan lelaki dan perempuan sebelum nikah sampai tanpa tak sedar dengan bertambahnya orang macam aku, membuat orang yang lain berasa tidak malu untuk ke arah zina dan berzina.

Aku rasa aku tak salah jika orang lain mengata buruk tentang aku, ialah, mulut org kan. Payah nak tutup. Aku buat hal aku sudah.

Tapi sebenarnya aku salah kerana aku membiarkan orang lain berperangai buruk dan kerana sikap endah tak endah aku dan tidak mahu memaafkan, menasihati orang dan tidak menunjukkan kebaikan pada orang itu serta lari dari mendekati orang tersebut, membuat ramai yang lainnya terpalit dan terkena dengan kejahatan orang itu. Makin ramai orang yg merasa sakit hati kerana sikap 'ego' aku itu.

Aku rasa aku tak salah jika orang-orang Kafir memusuhi masyarakat Islam. Orang-orang kafir melakukan kekejaman ke atas orang Islam. Ialah, memang dah dasar Kafir, memang jahat!

Tapi sebenarnya aku salah kerana aku sendiri yang tidak mahu berdakwah walaupun sekecil-kecil dakwah dan tidak pernah punya rasa untuk menunjukkan Islam itu baik kepada orang-orang Kafir. Aku terus-terusan hina dan benci orang Kafir tanpa aku sendiri melakukan ikhtiar untuk merubah diri sendiri dan masyarakat agar orang Islam dapat membuktikan bahwa Islam itu baik dan tidak membebankan. Pernahkah aku berusaha?

Aku rasa aku tak salah jika kemiskinan melanda dunia. Ialah, dah mereka miskin, siapa suruh tak belajar rajin-rajin, belajar tinggi-tinggi.

Tapi sebenarnya aku salah kerana aku sendiri sombong dan sangat berkira jika ingin menghulurkan bantuan kepada mereka. Aku sering memboroskan duit aku kepada hal-hal yang sia-sia dan tidak penting. Padahal duit itu hanyalah untuk nafsuku, mengapa tidak untuk saudara-saudaraku yang sedang menderita? Aku makan enak-enak setiap hari, jika tidak dapat yg enak, aku marah padahal aku dah selalu makan enak-enak, si miskin tidak pernah sekali pun merasa keenakkan makanan yang aku makan. Mengapa aku merasakan mereka tidak ada kena mengena dengan aku? Bukankah kita semua berasal dari Adam yang sama?

Aku rasa aku tak salah jika aku berkata tentang keburukan orang dan mengiyakan setiap keburukan orang lain yang diceritakan kepada ku. Ialah, dah memang jahat, nak bela buat apa? Biarlah dia. Tak ada kena mengenapun dengan aku. Aku tak jahat macam dia.

Tapi sebenarnya aku salah kerana bermula dari aku, dan pertambahan aku sebagai orang-orang yang mengatakan dan mengiyakan keburukan orang tersebut, orang lain turut sama membenci orang itu. Semakin hari berkurangnya orang yang mendekati dia dan dia berasa tertekan dan membuatkan dia tidak mahu berubah dan sikapnya menjadi semakin buruk kerana tidak ada yang mahu menasihati dan menyayangi. Dan semakin ramai yang sakit hati serta tiada keharmonian dalam masyarakat. Orang-orang menjadi semakin liar dan tidak mustahil sikap suka mengumpat juga berkembang pada orang lain. Aku telah memupuk budaya tidak sihat itu! Sebenarnya aku juga dua kali lima jahat.


Aku rasa aku tak salah setiap masa.

Tapi sebenarnya aku salah lebih berganda-ganda setiap masa. Kerana aku tidak pernah ambil peduli. Pantaslah neraka yang sehina-hina tempat kembali jika aku masih tidak mahu berubah.

Astaghfirullah!